SEJARAH SK LADANG

Sekolah Kebangsaan Ladang mula ditubuhkan pada tahun 1926 yang terdiri dari sebuah bangunan sekolah yang diperbuat daripada separuh simen dan separuh kayu. Ia merupakan salah sebuah sekolah yang tertua di daerah Kuala Terengganu selain daripada Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jambul (kini telah dijadikan Pusat Kegiatan Guru Durian Burung).

Pada awal penubuhannya bilangan kelas yang dibuka hanyalah 4 buah kelas dengan keramaian pelajar seramai 66 orang. Tengku Md Tahir bin Sulong telah dilantik sebagai Guru Besar pertama bagi menerajui sekolah ini. Pada tahun 1955 bilangan kelas semakin bertambah kesan daripada penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar. Dua Sesi persekolahan terpaksa dijalankan kerana kekurangan bilangan kelas. Kesan daripada pertambahan bilangan murid-murid menyebabkan kelas tidak mencukupi. Lantaran itu pada tahun 1968, dua buah bangunan baru telah dibina bagi menampung bilangan murid-murid.

Setelah siapnya bangunan tersebut, bangunan sekolah yang lama telah dirobohkan untuk digantikan dengan bangunan yang baru. Setelah kesemua bangunan siap dibina, pada 4 Mei 1971 Sekolah Kebangsaan Ladang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Hussein bin Onn iaitu Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu.

Pada Januari 1971 Sekolah Kebangsaan Ladang telah melaksanakan persekolahan satu sesi. Pada tahun 1992 bilangan pelajar di Sekolah Kebangsaan Ladang adalah seramai 986 orang dengan kemudahan 24 bilik darjah dan bilangan tenaga pengajar seramai 68 orang guru.
Bermula tahun 2000, kerajaan negeri telah mengambil beberapa bidang tanah yang didiami oleh penduduk yang berada di persekitaran Sekolah Kebangsaan Ladang. Kawasan kediaman ini diambil adalah untuk tujuan pembangunan. Rentetan daripada perkara tersebut ramai penduduk terpaksa berpindah untuk mencari penempatan baru. Perpindahan penduduk ini menyebabkan berlakunya pengurangan pelajar di sekolah ini.

Sehingga kini, Sekolah Kebangsaan Ladang telah beroperasi selama hampir 91 tahun dan ditadbir oleh 23 orang guru besar. Bermula tahun 2016 sehingga kini, Sekolah Kebangsaan Ladang berada di bawah kepimpinan En Rosli bin Abdul Razak.

Ulasan

Catatan Popular